Chat with Rubisa:

Ahad, 15 Mac 2009

Ke mana arah tuju Akademi Fantasia ?

Barisan peserta Top 20 Akademi Fantasia 7.
AKADEMI Fantasia (AF) belum mampu melahirkan ramai bintang ternama dan berkualiti. Itulah hakikatnya meskipun program ini sentiasa dilihat popular meskipun ramai artis yang lahir sekadar 'penyanyi mi segera'. Hanya seorang bintang ciptaan mereka yang mampu mencetuskan fenomena dan berjaya kekal dari segi populariti iaitu Asmawi Ani atau Mawi selepas enam musim berlalu. Selebihnya artis kelahiran AF hanya datang silih berganti bagaikan angin yang berlalu. Ada yang bertahan sekadar bergantung oparas rupa yang cantik, manakala yang lain ada yang terpaksa ‘cari makan’ dengan berlakon drama, ada yang sekadar sensasi dengan cerita peribadi dan ada terpaksa pulang ke kampung, lalu berkahwin dan menjalankan kerjaya lain. Nasib mereka juga umpama telur di hujung tanduk, belum tentu mampu kekal lama dalam industri selepas AF memperkenalkan artis baru pula saban tahun. Kalau dihitung berapa kerat artis kelahiran AF yang mampu berdiri dan mencipta nama, selebihnya bungkus, nama semakin sepi, tiada lagi kilauan glamor yang menghiasi diri mereka dan terpaksa buka buku baru, malah lebih menyedihkan ada yang tertekan sehingga pernah menerima rawatan di wad psikiatri.
Tidak dinafikan, AF adalah program realiti paling popular abad ini, bagaimanapun nampaknya popular tidak cukup membantu melahirkan bakat baru yang cemerlang dan bermutu. Tidak seperti Bintang RTM yang melahirkan ramai penyanyi ternama seperti Allahyarham Sudirman, Jamal Abdillah, Nora, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza yang masih lagi berada dalam industri sehingga hari ini. Nama mereka tak mampu digugat kerana mereka memiliki kelompok peminat tersendiri dan kekuatan mutu vokal.
Apabila diajukan persoalan itu pada Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada sidang media baru-baru ini, beliau hanya berharap dapat melahirkan lebih ramai bintang dalam AF untuk edisi ketujuh yang sudah memulakan kempennya bulan lalu dan bermulanya siaran Tirai AF7 semalam. Yang menjadi persoalannya, bagaimana nak melahirkan bintang ternama dengan senarai top 20 AF7 yang tidak meyakinkan? Ada yang menganggap AF7 umpama mengitar semula bakat yang pernah menyertai program realiti TV lain dan mereka bukanlah finalis hebat, sebaliknya terkeluar di awal pertandingan dalam One In A Million, My Starz LG dan Gang Starz. Apakah AF7 boleh berjaya melahirkan penyanyi bermutu dengan bergantung pada pelajarnya yang pernah ‘terbuang’ dalam rancangan lain? Melihat senarai enam daripada mereka sudah berumah tangga dan seorang daripadanya terpilih adalah artis remaja yang tidak popular walaupun sudah memiliki dua album, apakah Astro mampu melahirkan bintang ternama sekali gus menggugat kedudukan Mawi, atau sekurang-kurangnya Mila atau Stacy? Apakah gimik slogan ‘Transformasi Baru Akan Berlaku’ seperti yang dicanang mampu menjadi kenyataan atau terus tinggal gimik semata-mata? Khairul Mizan berkata, Astro sentiasa melakukan transformasi dalam setiap program AF yang disiarkan. “Tidak hanya berlaku pada pelajar sebaliknya ia membabitkan tenaga pengajar, format dan krew penerbitan. Masih terlalu awal untuk menilai kemampuan peserta, kita seharusnya memberi mereka peluang. Tirai Akademi Fantasia (yang disiarkan semalam dan hari ini) akan memperkenalkan peserta dengan lebih mendalam. Mereka juga akan menonjolkan diri yang sebenar dalam tempoh dua hari itu. “Seramai 20 peserta terpilih adalah terbaik daripada 9,000 yang datang uji bakat. Angka ini adalah rekod tertinggi dan meningkat 33 peratus berbanding musim lalu. Ujian saringan kali ini juga lebih ketat. Astro mahu peserta yang terpilih memiliki mutu vokal tinggi. Semua calon peserta perlu menyertai Minggu Orientasi dan Kem Muzikal yang membabitkan pelbagai kelas bimbingan dan uji kelayakan seperti teknik vokal, persembahan, tarian dan lakonan selama enam hari. Hanya peserta yang memberikan persembahan terbaik diserapkan dalam akademi dan keputusannya diumumkan dalam Tirai Akademi Fantasia 7,” katanya.
Pelajar AF7 ialah isteri anggota kumpulan 2 By 2, Zulkifli Majid yang juga kakak penyanyi Tomok, Ismaliza Ismail (Isma), 30. Seorang peserta mempunyai pertalian saudara dengan artis tempatan ialah Khairil Azam Pilus (Aril), 23, adik kepada penyanyi Izwan Pilus. Aril sebelum ini pernah menyertai Gang Starz terbitan TV3 bersama kumpulannya 1st Edition. Berbeza Isma dan Azam, Lizda Nuryanti Abidin (Lizda), 27, pula isteri pelakon, Ezany Nizariff. Bekas peserta One In A Milliom musim kedua, Abraham Edwin Dungot (AB), 26, dan Rubisa Tiasin, 23, dari My Starz LG musim pertama turut disenaraikan. Jika penganjuran tahun lalu, AF menampilkan peserta 'veteran' iaitu Mama Rina, AF7 pula menampilkan Kelana Ayu (Kelana), 40, berasal dari Bintulu, Sarawak. Selain itu, peserta lain ialah Abdul Hamim Suleiman (Amim), 21; Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18; Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), 24; Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), 19; Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), 25; Mohd Rashidi Mohamaad Isa (Sidi), 27; Mohd Yazid Ibrahim (Yazid), 22; Alpaezah Manaf (Faezah), 20; Cabrine Blaire Bernard Solibun (Cabby), 20; Claudia Fay Geres (Claudia), 24; Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil, 24; Siti Aishah Bujang (Aishah), 18, dan Zuzafrini Zulkifli (Rini), 26.

0 ulasan: