Chat with Rubisa:

Selasa, 17 Mac 2009

Permulaan positif

Konsert minggu pertama AF7 masih menghiburkan walaupun persembahan keseluruhan sederhana saja


KETIKA tugasan membuat liputan konsert pertama Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh diterima, penulis tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat sebuah persembahan keseluruhan yang baik.

Apatah lagi setelah kebanyakan rakan wartawan hiburan tidak memberikan rangsangan berbentuk positif apabila pulang daripada sidang media pengumuman pelajar yang berjaya melangkah ke akademi untuk musim ini.

Lebih-lebih lagi, setelah melihat sebuah lagi rancangan realiti berbentuk pertandingan nyanyian di stesen televisyen lain menyaksikan rata-rata pesertanya mampu memberikan persembahan terpuji. Jadi, keinginan untuk mengetahui apakah yang bisa dihidangkan oleh pelajar AF7 sebenarnya agak kurang. Bagaimanapun, bertempat di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil tepat jam 9 malam, tirai konsert AF7 yang dikemudi pengacara AC Mizal akhirnya dibuka.

Pada minggu pertama, 14 pelajar diberikan peluang menunjukkan kemampuan masing-masing bersandarkan lagu pilihan sendiri. Maka, kelihatan sebahagiannya cuba memukau hadirin dan pengkritik dengan lagu yang sebenarnya tidak sesuai kemampuan diri. Salah pilih lagu terus berlaku, apabila ada pelajar yang menyangka keupayaan mereka cukup luar biasa sedangkan ia sekadar 'biasa-biasa'.

Begitupun, pujian harus diberikan kepada beberapa pelajar yang mungkin bijak mengukur baju di badan sendiri. Hafiz yang menyampaikan Lagu Kita, Aril (Rahasia Perempuan), Isma (Sepi) dan Aishah (Dan Sebenarnya) umpamanya, menunjukkan persembahan yang dianggap baik oleh tiga pengkritik tetap - Datuk Khatijah Ibrahim, Edrie Hashim dan Adlin Aman Ramlie - kerana mereka mengetahui keupayaan diri.

Lalu nyanyian yang tidak kekok itu bukan hanya menyenangkan hati pengkritik terbabit, malah mereka mendapat sokongan padu penonton yang berada di dewan berkenaan.
Selain empat peserta tadi, Rubisa dan Zizi juga dilihat tidak mengecewakan apabila masing-masing mendendangkan lagu Matahariku dan Molek. Rubisa memiliki kemampuan menarik suara yang tinggi, manakala Zizi pula bijak menggunakan ruang di pentas. Masalahnya, apakah Rubisa hanya bersenjatakan jeritan yang lantang semata-mata? Harus ada kepelbagaian dalam corak persembahan wanita dari Kota Marudu beranak satu ini pada minggu-minggu akan datang untuk dia kekal lebih lama dalam pertandingan.

Seorang lagi peserta yang seharusnya lebih menyerlah ialah Qhaud, yang memilih lagu Phoenix Bangkit Dari Abu pada malam itu. Seandainya dia menggerakkan sedikit tari pada korus lagu yang amat menarik itu, pastinya persembahan jejaka berusia 25 tahun dari Selangor itu lebih diingati. Paling tidak, tarian itu yang pastinya boleh mengajak penonton bergembira sama mampu mengaburi kelemahan lain yang ada pada dirinya. Pelajar yang dilihat 'keras' oleh Adlin ini sememangnya punya aura tersendiri. Cuma dia perlu lebih cerdik menggali kelebihan terbabit.

Manakala peserta selebihnya, agak mudah untuk dilupa. Mungkin jika ada antara mereka yang tersingkir pada konsert pertama itu, peminat tidak akan hirau sedikit pun, apatah lagi untuk mempedulikannya. Nasib baik, akademi berasakan 14 pelajar tadi harus diberikan peluang lebih lama untuk mendapatkan ilmu daripada tenaga pengajar, yang dipimpin Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai pengetuanya.

Secara keseluruhan, konsert pertama itu tidaklah mendukacitakan. Memang ada sedikit kepuasan selepas menyaksikan konsert ini sehingga selesai. Bukanlah konsert yang mengagumkan, tetapi cukup untuk menghiburkan pengikut setia rancangan berkenaan.
Jika beginilah permulaan persembahan musim ketujuh, nampaknya lebih banyak harapan boleh disimpan untuk minggu-minggu akan datang. Lebih penting, 14 pelajar tadi wajib menampilkan persembahan lebih baik, supaya kemunculan mereka dalam program realiti popular itu diingati bagi tempoh waktu yang lebih lama.

Pada ketika pelajar sudah mula menunjukkan kemampuan, AC juga tidak ketinggalan menghidupkan suasana dengan cara kendaliannya. Tidak melalut atau mengeluarkan lawak yang tidak patut, dia tenang mengacarakan episod pertama acara persembahan. Lalu, konsert itu berakhir dalam tempoh waktu yang sudah ditentukan.

Dilihat sebagai ringkas dan padat, konsert pertama tidak menampakkan kecacatan.
Cuma, perubahan lokasi konsert dari Dewan Sivik Majlis Bandar Raya Petaling Jaya ke Dewan Sri Putra Bukit Jalil seperti mengurangkan sedikit prestij rancangan konsert itu sendiri. Mungkin kerana kekangan bajet, maka lokasinya diubah pada tahun ini. Namun keseronokan menonton bagi peminat di dewan, pasti lebih dirasa pada tempat yang lama.

Dari segi kritikan pula, Astro patut berterima kasih apabila Adlin sekali lagi menerima tugas sebagai pengkritik tetap program ini. Dia banyak menyelamatkan keadaan dengan tegurannya yang lantang, tetapi berisi.

Khaty dan Edrie mungkin belum menemui 'sentuhan' yang diperlukan untuk menyedapkan lagi program terbabit. Mungkin mereka sudah diminta supaya berlembut pada pusingan pertama ini. Edrie lebih banyak menyingkap sejarah ketika dia menguji bakat peserta, sebelum mengeluarkan ulasan.

Tiara menaruh harapan tinggi

SEMENTARA itu, pada sidang media selepas konsert, Tiara melahirkan kegembiraannya apabila beberapa pihak menghulurkan ucapan tahniah selepas persembahan minggu pertama musim ketujuh dikatakan lebih baik berbanding konsert pada beberapa musim sebelumnya.
Begitupun, katanya, perjalanan pelajar dan semua yang terbabit dalam menjayakan program musim terbaru itu masih jauh. Ditanya pandangannya terhadap tumpuan peminat yang kini jelas terarah kepada Hafiz, Aril, Rubisa dan Aishah setelah berakhir konsert sulung, Tiara berkata, begitulah lumrah program realiti apabila sebahagian peserta mampu menarik lebih banyak sokongan berbanding peserta lain.

"Menjadi cabaran kepada kami tenaga pengajar untuk mendidik peserta lain supaya mereka juga mampu memberikan persembahan yang baik, demi mendapatkan perhatian daripada lebih ramai peminat, sebagaimana rakan mereka tadi.

"Dengan itu, kegemilangan dapat sama-sama mereka rrasai," katanya.
Tiara berbangga dengan pelajar yang dipilih menyertai akademi pada kali ini dan tegasnya, setiap hari, mereka akan mengkaji pencapaian diri, sama ada penanda aras yang ditetapkan sudah berjaya dicapai atau sebaliknya.

"Dengan cara itu, mereka sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi terhadap diri sendiri. Saya sendiri memang menaruh harapan yang tinggi pada semua pelajar ini," ujar Tiara.
Mengenai lagu dan tarian Menuju Puncak yang tidak dipersembahkan pelajar pada minggu terbabit, Tiara menjelaskan, sejak awal dia sudah dimaklumkan hanya penari yang akan mempersembahkan lagu wajib itu pada konsert pertama.

"Ia juga sebahagian daripada kejutan yang dirancang. Malah anda boleh menjangkakan bermacam-macam lagi kejutan sepanjang berlangsungnya AF7 ini. Banyak lagi perkara yang tidak pernah berlaku dalam AF sebelum ini akan diadakan dalam musim terbaru .
"Sememangnya banyak tradisi akan dilanggar sepanjang musim ini. Bagi saya, kita tidak akan ke mana-mana jika tidak berani memecahkan benteng. Kita perlu bergerak ke depan untuk mencapai kegemilangan," katanya.

Pada pertanyaan mengenai tindakan mendahulukan lagu pilihan pelajar untuk persembahan minggu pertama, Tiara berkata, ia diadakan seawal ini bagi melihat personaliti pelajar itu sendiri, serta muzik bagaimana yang mereka gemari.

Baginya, AF ialah sebuah perjalanan yang agak panjang dan dengan mengetahui karakter diri pelajar dari awal, usaha membentuk mereka menjadi penyanyi yang baik lebih akan lebih mudah dilakukan pada kemudian hari.

0 ulasan: