Chat with Rubisa:

Jumaat, 27 Mac 2009

KOMEN PROFESIONAL

Konsert kedua AF7 hambar
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


AKSI 14 pelajar pada pembukaan konsert membawakan lagu tema, Menuju Puncak.

RUANG besar untuk mempamerkan kekuatan, kelebihan dan transformasi vokal serta penyampaian menerusi persembahan berbentuk medley tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta membuatkan konsert kedua Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh hambar dalam kehangatan sokongan.

Berbanding konsert pertama, persembahan kedua yang menampilkan 14 peserta sebelum Adila diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir menunjukkan sedikit peningkatan.

Malangnya peningkatan yang ditunjukkan tidak seimbang, lantas memperlihatkan jurang besar antara peserta yang semakin selesa menguasai pentas manakala sebahagian lagi masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana dewan.



Kecuali Hafiz, Claudia, Zizi dan Rubisa yang memperlihatkan kesungguhan untuk menyahut cabaran bergelar juara, persembahan peserta lain memerlukan suntikan dan keajaiban untuk meyakinkan khalayak mereka layak berdiri di pentas AF7.

Mengulas mengenainya, peneraju AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina berkata, tugasan itu bukan saja mencabar pelajar sebaliknya tenaga pengajar untuk menguasai 28 lagu berbeza pada waktu singkat.

“Perjalanan kesemua pelajar di pentas masih jauh tetapi kami cuma mendesak mereka untuk menyahut cabaran dengan memberikan tugasan mencabar.


TANGISAN tidak lagi mampu mengubah nasib Adila.
“Dari segi persembahan, kebanyakan peserta memperlihatkan peningkatan termasuk Adila yang menunjukkan prestasi persembahan yang baik.

“Untuk melihat mereka memberikan persembahan bertaraf profesional tidak mungkin berlaku dalam tempoh singkat. Sebaliknya itu semua adalah satu proses dan saya katakan, setiap pelajar sudah memberikan persembahan terbaik mereka.

“Masa diberikan untuk mereka juga singkat kerana dalam masa tiga hari, pelajar perlu memahirkan diri dengan semua aspek dan tuntutan persembahan. Semua itu tidak mudah dan memberikan cabaran kepada mereka yang masih baru dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas mengenai kritikan yang kurang berpihak kepada sebahagian besar peserta, Tiara berkata, dia bersama barisan tenaga pengajar bersepakat untuk memberi tumpuan secara peribadi supaya setiap aspek kelemahan peserta dapat diperbaiki.


“Kami akan memberikan tumpuan berdasarkan keperluan pelajar supaya kelemahan mereka dapat segera diatasi,” katanya.

Biarpun secara keseluruhannya Tiara berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan, namun dia tidak menafikan sebahagian peserta masih lemah dalam aspek penghayatan, pemahaman serta bentuk persembahan sesebuah lagu.

Kelemahan itu katanya, membuatkan pelajar berdepan sedikit masalah untuk membawakan dengan jelas struktur lagu yang dipertanggungjawabkan.

“Graf persembahan kali ini melonjak baik, memikirkan situasi pelajar yang baru dua minggu didedahkan dengan cara pembelajaran seperti ini,” katanya.

Mengimbas persembahan pada konsert kedua, sebahagian besar peserta masih kekok dan memerlukan lebih masa untuk mengadaptasikan diri dengan suasana baru terutama cara berdepan dengan khalayak.

Kelemahan memahami tuntutan itu menyebabkan sebahagian besar peserta lelaki terutama Akim, Obri, Sidi dan Yazid agak kaku dengan pergerakan terbatas di pentas.

Masalah yang sama juga menyerang Aishah yang gagal menyuntik tenaga untuk medley Cuba dan Gila menjadikan persembahannya tawar dan hambar kerana gadis kecil itu membiarkan dirinya tenggelam dalam ketidakselesaan di pentas.

Raut wajah yang tiada ekspresi serta bahasa tubuh yang masih ‘keras’ malah ada di antara mereka begitu jelas mempamerkan ketidakselesaan dengan tugasan diberikan mengganggu penonton untuk menghayati persembahan yang diberikan.

Gambaran itu sangat ketara pada wajah Akim, Obri, Yazid dan Sidi yang jelas memperlihatkan mereka sedang berperang dengan perasaan gemuruh hingga membangkitkan kekalutan ketika membuat persembahan.

Ini berbeza dengan Aril yang memperlihatkan keyakinan yang cukup tinggi di pentas tanpa menyedari jika tidak dikawal akan membinasakan dirinya sendiri.

Keyakinan itu malangnya ia tidak diimbangi dengan persembahan vokal serta kualiti persembahan yang membanggakan hingga ada beranggapan Aril sebagai peserta yang ‘poyo’ (beriya-iya).

Jika tidak ditangani dengan pantas, ia mungkin mendatangkan masalah kepada Aril terutama apabila berdepan dengan realiti dunia hiburan nanti kerana dari awal dia menonjolkan dirinya sebagai seorang yang angkuh dan meninggi diri.

Apa saja bisa terjadi kerana untuk bertahan di pentas AF7 tidak hanya bersandarkan kepada bakat semata-mata. Menyusun strategi untuk menonjol dan memikat hati penonton juga menjadi agenda utama sebahagian peserta.

Namun realitinya, apakah yang disaksikan di kamera dan kaca televisyen adalah diri mereka yang sebenar? Semua itu masih menjadi persoalan.

Ruang terbaik memperkenalkan Adila

MEMBAWA artis berpengalaman seperti Nas Adila Mohd Dan atau kini dikenali sebagai Adila masuk ke dalam AF7 dilihat ramai sebagai ruang terbaik untuk produksi mengeksploitasi kelebihannya sekali gus memperlihatkan sejauh mana Tiara dan fakulti mampu membawa transformasi kepada karier penyanyi itu.

Malangnya, peluang berharga itu tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh Astro lalu membiarkan saja Adila yang kurang menonjol sejak Diari AF7 diperkenalkan tenggelam tanpa diberi pendedahan sewajarnya.

Persembahan Adila menerusi medley Merawat Luka Terpendam dan Asyik tidak mengecewakan, berbanding kelemahan ketara yang ditonjolkan Rini, Yazid mahu pun Obri pada konsert kedua itu.

Namun sifat pendiam penyanyi dari Johor Bahru itu akhirnya menamatkan impiannya untuk melangkah jauh dalam pertandingan itu.

“Saya cuma menjadi diri sendiri dan tidak menyangka sifat pendiam itu dilihat sebagai kelemahan yang turut menyumbang kepada penyingkiran.

“Mungkin juga status sebagai penyanyi menyebabkan ada peminat yang kurang menyenangi kehadiran saya sebagai peserta AF7,” katanya ketika ditemui pada sidang media selesai konsert.

Biarpun menjadi peserta pertama meninggalkan pertandingan itu, Adila tidak kecewa kerana pengalaman selama dua minggu menghuni akademi terkawal itu tidak dapat dijual beli.

“Niat saya menyertai AF7 untuk mempamerkan bakat dan melihat sejauh mana masyarakat menerima kehadiran saya sebagai penyanyi.

“Jika tidak mengambil peluang ini, mungkin karier saya tidak menyerlah. Jadi saya tidak kesal sekali pun perjalanan saya berakhir awal.

“Menjadi 14 terbaik daripada 9,000 yang menghadiri uji bakat adalah pencapaian terbesar untuk diri sendiri,” katanya yang pernah melahirkan album Kekasih Kerinduan dan Istana Janji.

Mengakui agak terkilan kerana ruang pembelajaran bersama 13 teman yang lain terhenti, gadis berusia 22 tahun itu berkata, penyingkiran itu menjadi kejutan buat dirinya sekali pun dia sudah bersiap sedia menerima segala kemungkinan.

“Bila saja AC Mizal bertanya apa perasaan jika melihat dua rakan saya, Rini dan Yazid tersingkir saya dapat merasakan sesuatu akan berlaku. Malah dari awal detik pengumuman saya sudah berasa tidak sedap hati dan kerap memandang bagasi. Mungkin takdir untuk saya hanya di sini namun saya akan tetap berusaha dengan tunjuk ajar mereka berpengalaman di Astro,” katanya.

0 ulasan: