Chat with Rubisa:

Isnin, 6 April 2009

KEJUTAN PENYINGKIRAN ZIZI & RUBISA

by gua.com.my

Walaupun menonjolkan persembahan yang memberangsangkan, nasib ternyata tidak menyebelahi peserta ‘Akademi Fantasia’ musim ketujuh (AF7), Nur Fazelah @ Zizie Mohd. Tahil dan Rubisa Tiasin apabila diumumkan tersingkir dari program tersebut yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, baru-baru ini.Malah penyingkiran mereka berdua ternyata mengejutkan para penonton yang kebanyakannya berpuas hati dengan persembahan yang telah ditonjolkan. Apatah lagi mereka berdua sebelum ini sering mendapat kritikan positif daripada juri yang terbabit.Mengulas tentang penyingkiran tersebut, Zizi ketika ditemui, memberitahu dia berpuas hati dengan persembahan yang telah ditunjukkan. Katanya, walaupun sedikit kecewa dengan penyingkiran tersebut namun dia akan tetap meneruskan perjuangannya di dalam bidang seni.
"Kiranya saya keluar AF dengan bermaruah. Apapun saya tidak terlalu kecewa dan percaya rezeki ada di mana-mana. Pada malam ini saya telah mencuba bersungguh-sungguh dan bersyukur kerana peminat berpuas hati dengan persembahan saya," katanya yang telah menunjukkan persembahan baik menerusi lagu “Aku Dah Bosan” yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Amy Search.Ditanya tentang hubungan rapatnya dengan Yazid yang dikatakan melahirkan bibit-bibit cinta di antara mereka berdua di dalam program tersebut, gadis berusia 25 tahun ini menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Yazid seperti yang digembar-gemburkan.Namun dia mengakui mereka berkawan rapat dan saling bantu membantu semasa di dalam AF7. Malah katanya, hubungan rapat tersebut bukan sahaja terjalin diantaranya dengan Yazid malah dengan peserta lain."Saya dan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan. Kami hanya kawan biasa dan sebelum ini Yazid banyak bercerita hal keluarga dan berkongsi kegugupannya ketika di atas pentas."Kami sebenarnya rapat secara kebetulan apabila dia sukar untuk mendapatkan ‘feel’ ketika menyanyikan lagu “Aku Cinta Padamu”. Oleh itu, saya harap tiada pihak yang salah faham," katanya yang menyenangi lagu-lagu bergenre rock yang dinyanyikan di dalam AF7.Sementara itu, Rubisa yang turut terkandas daripada meneruskan persaingan, berterus-terang memberitahu, selepas AF7 dia tidak akan menyertai mana-mana program realiti lagi. Katanya AF7 merupakan sebuah program yang bagus dan telah mengangkat namanya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya tidak akan masuk program realiti yang lain kerana AF merupakan program realiti yang bagus. AF sudah membawa saya ke tahap yang lebih bagus dan jauh. Kini saya semakin yakin untuk berjaya sebagai seorang penyanyi dan yakin mampu menyanyi dengan lebih baik," ujarnya yang sentiasa optimis.Diusik dengan persoalan tentang tingkah lakunya yang dikatakan kerap menangis di dalam AF7, ibu muda berusia 23 tahun ini menjelaskan dia bukan menangis untuk menarik perhatian orang atau meminta simpati seperti yang difikirkan oleh segelintir pihak. Sebaliknya itu adalah luahan hatinya dan dia mempunyai sebab tersendiri untuk menitiskan air mata.Dalam AF7 Rubisa yang mendendangkan lagu “Tiada Lagi” mendapat undian terendah iaitu lima peratus manakala Zizi mendapat undian sebanyak enam peratus. Selepas tersingkirnya Zizi dan Rubisa, kini hanya tinggal sembilan peserta yang akan meneruskan cabaran pada minggu kelima.Peserta yang masih bertahan adalah Ismaliza Ismail (Isma) yang menduduki tangga pertama dengan markah 16 peratus, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau (14%), Yazid (12%), Mohd. Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud (9%) dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim (9%). Tidak ketinggalan ialah peserta kecil molek Siti Aishah Bujang atau Aishah (8%), Khairil Azam Pilus atau Aril (8%), Claudia Fay Geres atau Claudia (7%) dan Mohd. Rashidi Mohamad Isa atau Sidi (7%).Konsert minggu keempat adalah tribute kepada dua ikon penyanyi dan penghibur terkenal tanahair, Amy Search dan Datuk Siti Nurhaliza. Pelajar wanita mendapat lagu-lagu nyanyian Amy Search manakala pelajar lelaki mendapat lagu nyanyian Siti.Selain pengkritik tetap iaitu Edrie Hashim dan Adlin Aman Ramly, Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search turut diundang selaku pengkritik jemputan.

0 ulasan: