ARKIB : 09/09/2007
Siapakah juara MyStarz LG?
Tiga bulan memasang impian untuk bergelar bintang menerusi pertandingan MyStarz LG, petang ini persoalan itu akan terjawab.
Impian lima peserta iaitu Badri, Ijam, Tasya, Rachel dan Rubisa untuk bergelar juara semakin menghampiri mereka.
Persedian dari segi vokal, susunan muzik dan pemilihan lagu telah digilap sepenuhnya namun adakah mereka mampu memberikan kelainan dan mempersembahkan gimik yang mampu mencuri perhatian penonton dan para juri?
Menurut Pengurus Produksi Hiburan TV3, Fadzliniza Zakaria, segala persiapan telah diatur sejak Selasa lalu untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
‘‘Kami telah bersiap sedia lebih awal bagi memastikan konsert akhir ini memenuhi setiap aspek yang diperlukan.
‘‘Dalam konsert ini kami menggunakan set asal MyStarz LG dengan sedikit pengubahsuaian supaya ia nampak lebih menarik dan lebih grand,’’ katanya.
Sehubungan itu para penonton yang meminati rancangan tersebut tentunya perlu memastikan berada di kaca televisyen masing-masing pada hari ini bermula pukul 6 petang menerusi saluran TV3.
Finalis ini akan menyanyikan lagu-lagu yang menguji kekuatan vokal masing-masing.
Selain tampil dengan nyanyian solo, penonton juga akan dapat menyaksikan finalis berduet dengan artis tempatan bagi memantapkan lagi persembahan mereka.
Antara yang akan bergandingan ialah Rubisa bersama Ezlynn, Rachel dan Cat Farish manakala Badri berduet bersama Datuk M. Daud Kilau.
Sementara itu Ijam akan berpadu suara bersama Lah VE dan si genit Tashya bersama Reshmonu.
Selain itu, Juwita Suwito, Hazami dan Faizal Tahir (OIAM) dijemput sebagai artis undangan untuk memeriahkan lagi konsert akhir MyStarz LG ini.
Manakala peserta yang tidak ke peringkat akhir turut diberi peluang membuat persembahan dan membantu finalis sebagai penyanyi latar.
Sebagaimana biasa, Naz dan Daphne Iking masih dikekalkan sebagai pengacara.
Format pemarkahan masih lagi dikekalkan seperti biasa iaitu 40 peratus dari khidmat pesanan ringkas (SMS), manakala 60 peratus adalah juri profesional.
Datuk Siti Nurhaliza dan Patrick Teoh akan diundang mengadili persembahan selaku juri tetap manakala dua juri jemputan akan diperkenalkan nanti.
Juara pertandingan tersebut akan membawa pulang RM100,000, sebuah peti televisyen LCD 42 inci jenama LG dan kontrak sebagai artis rakaman.
Malah bagi mereka yang ingin menyaksikannya dengan lebih dekat, pihak TV3 turut menyediakan tiket di pintu masuk Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) itu pada hari ini.
Penonton yang hadir akan juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti Chocolate Audio dan telefon bimbit jenama LG.
Bagi memudahkan pengunjung perkhidmatan bas ‘shuttle’ juga disediakan di sekitar kawasan perumahan Putrajaya.
Sebanyak enam buah bas akan beroperasi pada hari ini melalui laluan Precinct 8, 9, 10, 11, 16 dan Putrajaya Central (ERL) ke PICC.
Bas-bas ini akan beroperasi bermula dari pukul 4 petang hingga 6 petang dan 7.30 malam hingga 8.30 malam.
ARKIB BLOG :
Ahad, 9 September 2007
SIAPAKAH JUARA MYSTARZ LG ?
Dicatat oleh syahrum di 1:03 PTG 0 ulasan
Label: UTUSAN MALAYSIA
Langgan:
Catatan (Atom)